Apakah Akta 172?
- Perihal Perancangan Bandar dan desa telah diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan sebagai Senarai Bersama di mana kuasa eksekutif dan kuasa perundangan adalah di bawah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
- Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) diperbuat menurut Fasal (1) Perkara 74, Fasal (4) Perkara 76 dan Fasal (2) Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan bagi maksud memastikan keseragaman undang-undang dan dasar suatu undang-undang dibuat bagi pengawalan dan pengawalseliaan yang sepatutnya mengenai perancangan bandar dan desa di Semenanjung Malaysia. Struktur perancangan yang lebih dinamik diperlukan bagi menghadapi aliran pembangunan negara yang semakin berkembang pesat. Akta 172 telah digubal untuk menghasilkan perancangan yang lebih sistematik.
- Melalui Akta 172, sekali lagi bidang perancangan bandar mengalami satu titik tolak baru yang mencorakkan disiplin perancangan bandar di negara ini hingga ke hari ini. Akta 172, memperuntukkan bahawa sistem rancangan pembangunan di negara ini adalah meliputi tiga peringkat utama iaitu Rancangan Fizikal Negara, Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan. Falsafah perancangan juga telah beranjak daripada bentuk pelan pengezonan guna tanah fizikal kepada perkara yang lebih komprehensif, terbuka, terperinci dan lebih kompleks iaitu meliputi aspek sosial dan ekonomi selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan cabaran pembangunan negara semasa.
- Akta 172 menyediakan kerangka undang-undang dan prosedur untuk polisi, pentadbiran, merancang, mengatur, mengawal dan menguatkuasakan aktiviti perancangan bandar dan desa di negeri-negeri Semenanjung Malaysia. Akta ini menjelaskan serta menetapkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Negeri dan pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT) dalam mengatur, mengawal dan merancang pemajuan dan penggunaan tanah dan bangunan dalam bidang kuasa pihak pentadbiran mengikut dasar kebangsaan dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Adakah Akta 172 digunakan di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya?
- Akta 172 ini telah diterima pakai di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia namun tidak dilaksanakan di Negeri Sabah dan Negeri Sarawak.
- Di Wilayah Persekutuan Putrajaya, satu perintah telah dibuat pada 4 Mac 2010 iaitu Perintah Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pengubahsuaian Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976) 2010, di mana perintah tersebut dibuat bagi pemakaian di Wilayah Persekutuan Putrajaya yang sama dengan Akta 172.
- Manakala bagi Wilayah Persekutuan Labuan, Perintah Wilayah Persekutuan Labuan (Pemerluasan dan Ubah Suaian Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976) 2010. P.U. (A) 442/2010 (Di siarkan pada 31 Disember 2010) (Berkuatkuasa pada 1 Januari 2011) telah dikuatkuasakan.
Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, akta yang seumpama dengan Akta 172 telah digubal pada tahun 1982 iaitu Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 [Akta 267].
Apakah kandungan AKTA 172?
Akta 172 melibatkan 83 Seksyen dan 12 Bahagian merangkumi:-
Bahagian I, Permulaan:
Akta 172 dinamakan Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 telah digubal oleh Parlimen menurut perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan 1957, bertujuan untuk mewujudkan undang-undang perancangan bandar dan desa yang seragam bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Ini bermaksud bahawa Perkara 76(4) memberi kuasa eksekutif kepada Kerajaan Negeri walaupun aktiviti perancangan bandar dan desa adalah tersenarai dalam Senarai Bersama dalam Perlembagaan Persekutuan.
Akta 172 memperuntukkan bahawa Pihak Berkuasa Negeri (PBN) bertanggungjawab secara sepenuhnya dalam pentadbiran dan merancang kegunaan dan memajukan kesemua tanah dalam kawasannya. Pihak berkuasa tempatan (PBT) pula diberi kuasa untuk merancang, mengawal dan memelihara kesemua tanah dan bangunan dalam kawasan mereka.
Takrifan-takrifan dalam seksyen 2 dimuatkan untuk memastikan penggunaan istilah undang-undang yang betul dan bersesuaian dengan konteks Akta 172. Tafsiran istilah-istilah juga penting bagi mengelakkan kekeliruan maksud istilah-istilah yang digunakan. Mana-mana istilah yang tidak diberikan tafsiran dalam Akta 172 hendaklah merujuk kepada Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388], Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171], Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan mana-mana undang-undang bertulis yang berkaitan.
Bahagian II, Dasar dan Pentadbiran:
Pentadbiran di dalam Akta 172 melibatkan Majlis Perancang Fizikal Negara (Majlis) telah ditubuhkan pada tahun 2002 di peringkat Kerajaan Persekutuan di bawah peruntukan seksyen 2A Akta 172 (Pindaan) 2001 bagi mewujudkan satu sistem perancangan guna tanah yang seragam. Majlis merupakan badan tertinggi dalam hierarki yang membuat keputusan berkaitan hal-hal melibatkan perancangan bandar dan desa terutamanya pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang di semua Negeri di Semenanjung Malaysia.
Bahagian ini juga menjelaskan fungsi Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa. Fungsi utama Ketua Pengarah adalah untuk membuat penyelidikan berhubung dengan aspek perancangan bandar dan desa melalui penyediaan garis panduan perancangan dan piawaian perancangan. Ketua Pengarah juga memainkan peranan dalam penyiaran apa-apa laporan, buletin, perangkaan dan monograf berkaitan perancangan bandar dan desa kepada orang ramai. Ketua Pengarah boleh menasihati Majlis Perancang Fizikal Negara.
Bahagian IIA, Jawatankuasa Perancang Wilayah:
Jawatankuasa Perancang Wilayah ditubuhkan untuk menyelaras pembangunan sesuatu kawasan yang terletak di dalam dua negeri atau lebih. Penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah ini perlu dirundingkan terlebih dahulu dengan PBN. Penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah dan kawasan yang diisytiharkan sebagai sempadan wilayah hendaklah disiarkan dalam Warta oleh Menteri Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.
Bahagian IIB Rancangan Fizikal Negara:
Rancangan Fizikal Negara mengandungi pernyataan bertulis yang merumuskan dasar-dasar strategik bagi menentukan hala tuju Malaysia. Rancangan Fizikal Negara telah diluluskan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara pada 26 April 2005. Dasar-dasar yang terkandung di dalam Rancangan Fizikal Negara perlu diselaraskan dengan dasar-dasar sektoral lain yang telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan, Kementerian dan Majlis-majlis di peringkat Kebangsaan yang berkaitan. Cadangan-cadangan Rancangan Fizikal Negara perlu dijadikan rangka kerja untuk perancangan di dalam penyediaan Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan serta dijadikan panduan oleh agensi di peringkat persekutuan dan negeri dalam proses pembentukan program dan projek Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negara.
Rancangan Fizikal Negara hendaklah dikaji semula setiap lima tahun seiring dengan kajian semula Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negara, atau apabila diarahkan oleh Majlis supaya rancangan tersebut dikemas kini.
Bahagian III, Rancangan Pemajuan:
Seksyen ini memperuntukkan bahawa Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri dipertanggungjawabkan untuk memulakan tinjauan ke atas kawasan dalam Negeri berkenaan perkara yang dijangka mungkin menyentuh rancangan pemajuan atau perancangan pemajuan negeri itu. Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri juga hendaklah mengkaji semula perkara-perkara yang berkaitan dengan pemajuan atau perancangan pemajuan dalam apa-apa keadaan yang difikirkan perlu bagi tujuan pengemaskinian atau penambahbaikan.
Mengikut peruntukkan subseksyen 7(2), Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, boleh memulakan satu tinjauan baru untuk keseluruhan kawasan dalam negeri bagi tujuan memeriksa perkara yang disebut dalam subseksyen ini. Perkara yang hendak dibuat pemeriksaan dan sentiasa dikaji semula adalah seperti yang dinyatakan dibawah subseksyen 7(3) iaitu:
(a) ciri utama fizikal yang merangkumi aspek guna tanah utama kawasan terbabit dan sekitar seperti sistem saliran, sistem pengangkutan, sektor pertanian, perumahan, perindustrian, perdagangan, pelancongan, penyediaan kemudahan awam, aspek alam sekitar dan lain-lain aspek yang berkaitan;
(b) Rancangan Fizikal Negara dan dasar utama negara berkenaan dengan ekonomi, sosial, fizikal dan pengurusan alam sekitar;
(c) Bilangan taburan penduduk, saiz penduduk, corak migrasi penduduk, komposisi penduduk dan lain-lain aspek penduduk yang difikirkan sesuai;
(d) meliputi sistem sirkulasi, jenis pengangkutan utama, perkhidmatan pengangkutan awam semasa dan masa akan datang;
(e) menetapkan supaya semua rancangan pemajuan yang dicadangkan diperiksa dan apa-apa perkara lain yang tidak dinyatakan di para (a) hingga (d) iaitu dasar Perbandaran Negara dan dasar-dasar lain sebagai mana yang telah digubal di peringkat persekutuan dan negeri; yang mungkin dijangka berkaitan dengan perkara di atas;
(f) perkara lain yang telah ditetapkan atau ditentukan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara atau Jawatankuasa Perancang Negeri dalam mana-mana hal yang berhubung pemuliharaan, penggunaan dan pemajuan tanah dalam negeri tersebut. Contohnya sesuatu kawasan yang telah disytiharkan sebagai kawasan bersejarah. Kajian tersebut perlu mengambil kira segala aspek sejarah yang terdapat di kawasan berkenaan; dan
(g) menetapkan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, sewaktu menjalankan kajian, hendaklah mengambil kira kesan-kesan yang akan wujud setelah pembangunan dijalankan. Di samping itu, rundingan perlulah diadakan bagi pembangunan yang melibatkan negeri berjiran bagi perkara-perkara yang menyentuh dasar pembangunan di antara kedua-dua negeri berkenaan.
Bahagian IV, Kawalan Perancangan:
Kawalan perancangan adalah tanggungjawab khusus PBPT dan diperuntukkan dengan jelas di Bahagian IV Akta 172. Peruntukan serta proses untuk mendapat kebenaran merancang daripada PBPT dihuraikan dengan lengkap oleh subseksyen 22(2) yang telah menyenaraikan perkara-perkara yang dipertimbangkan.
Sistem pengawalan perancangan adalah penting dalam melindungi kepentingan awam di samping memelihara alam sekitar. Semasa membuat pertimbangan terhadap permohonan kebenaran merancang, PBPT hendaklah menyemak sama ada permohonan telah mengambil kira dasar-dasar dan cadangan yang terdapat dalam Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan dan juga apa-apa cadangan yang terdapat dalam lain-lain kajian atau perancangan yang berkaitan. Sistem kawalan perancangan ini bertujuan bagi memastikan bahawa sesuatu cadangan pembangunan mematuhi rancangan pemajuan.
Terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan, ini termasuk dasar-dasar perancangan negara; dasar-dasar perancangan tempatan serta faktor-faktor lain yang dijangka memberi kesan kepada jenis dan ciri-ciri pembangunan yang akan memberi kesan positif dan negatif kepada persekitaran fizikal, penduduk, sosial dan ekonomi tapak cadangan serta kawasan sekitar.
Bahagian ini memperuntukkan bahawa pemilik tanah yang ingin memajukan tanah mereka mestilah mengikut kehendak peruntukan Rancangan Tempatan atau Rancangan Struktur jika tidak wujud Rancangan Tempatan di kawasan terlibat dan dasar-dasar yang ditentukan oleh PBPT. Semua pihak (kecuali PBPT) mestilah membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran merancang (KM) dan mematuhi kesemua syarat-syarat yang dikenakan ke atas KM sewaktu menjalankan kerja-kerja pembangunan.
Bahagian V, Caj Pemajuan:
Caj pemajuan adalah caj yang di levi oleh PBPT kepada mana-mana tuan tanah atau pemaju apabila sesuatu pemajuan hendak dijalankan ke atas tanah yang akan ditunjukkan dalam rancangan tempatan kawasan berkenaan, terlibat dengan perubahan penggunaannya (guna tanah), ketumpatannya atau luas lantai sehingga menaikkan nilai tanah tersebut.
Terdapat dua keadaan di mana caj pemajuan boleh dikenakan iaitu:
(a) apabila sesuatu rancangan tempatan telah disediakan atau apabila dibuat pengubahan ke atas sesuatu rancangan tempatan yang telah disediakan; dan
(b) apabila sesuatu rancangan tempatan diubah, dibatal atau diganti yang menyebabkan perubahan penggunaan, ketumpatan atau luas lantai ke atas mana-mana tanah hingga menaikkan nilai tanah berkenaan.
Bahagian VA, Perintah Pemeliharaan Pokok:
Pokok merupakan aset semula jadi dan menjadi tanggungjawab setiap individu untuk memeliharanya. Tujuan pemeliharaan pokok adalah untuk menjamin sumber alam semula jadi supaya dapat dinikmati oleh generasi akan datang. Dengan yang demikian, PBPT mempunyai tanggungjawab penting dalam memelihara pokok-pokok dalam kawasannya terutamanya memelihara pokok yang dianggap mempunyai keistimewaan dari aspek saintifik, estetik dan aspek alam sekitar supaya tidak ditebang.
Seksyen 35A ini memberi perlindungan kepada pokok-pokok tertentu untuk memastikan sistem ekologi kawasan dapat dikekalkan. Seksyen ini juga memberi kuasa kepada PBPT untuk mengeluarkan perintah pemeliharaan pokok yang terancam kepupusan atau yang mempunyai nilai-nilai istimewa. Dengan adanya perintah ini, aktiviti penebangan pokok bagi pembangunan yang berleluasa dapat dibendung.
Bahagian VI, Lembaga Rayuan:
Lembaga Rayuan ditubuhkan bagi tujuan untuk memberi peluang kepada orang awam mengemukakan rayuan sekiranya terkilan atau tidak berpuas hati dengan keputusan PBPT dan seterusnya menimbangkan kes-kes rayuan tersebut, di mana Lembaga Rayuan adalah satu badan berkecuali (independent body) yang dilantik oleh PBN bagi menyelesaikan pertikaian di antara perayu dengan PBPT khususnya yang terbit dari sesuatu keputusan perancangan yang mana perayu itu sama ada sebagai pembantah, pemohon, pemilik atau pengguna merasa terkilan.
Jenis-jenis rayuan yang boleh dikemukakan kepada Lembaga Rayuan mengikut peruntukan dalam Akta 172 adalah seperti berikut:
- Seseorang pemohon yang terkilan dengan keputusan PBPT yang enggan memberikan KM atau dengan apa-apa syarat dikenakan oleh PBPT dalam memberikan KM dalam perenggan 23(1)(a).
- Seseorang pemohon telah membuat bantahan menurut subseksyen 21(6) iaitu berkenaan dengan bantahan pemunya tanah berjiran dan yang terkilan dengan keputusan PBPT berhubung dengan bantahannya dalam perenggan 23(1)(b).
- Jika mana-mana orang terkilan dengan apa-apa amaun pembayaran balik atau pampasan yang ditawarkan atau dibayar kepadanya di bawah seksyen ini oleh PBPT dalam subseksyen 25(9).
- Seseorang yang terkilan dengan PBPT yang menyampaikan suatu notis rekuisisi untuk menghentikan apa-apa penggunaan tanah dalam tempoh yang ditetapkan dalam subseksyen 30(2).
- Mana-mana orang yang terkilan dengan amaun pampasan sebagai pematuhan notis rekuisisi dalam subseksyen 30(7).
- Rayuan terhadap Perintah Pemeliharaan Pokok terkilan dalam seksyen 35C.
- Terkilan dengan pampasan di bawah Perintah Pemeliharaan Pokok yang melibatkan amaun pampasan yang diawardkan dalam seksyen 35D.
- Penggantian pokok melibatkan seseorang yang didapati bersalah di bawah seksyen 35A(4) kerana menebang pokok dan diperintah untuk menggantikan pokok itu dengan menanam pokok yang lain dalam seksyen 35E.
Bahagian VII, Notis Pembelian dan Pengambilan Tanah:
Seseorang tuan tanah berdaftar diberikan peluang untuk menyampaikan notis pembelian kepada PBPT untuk membeli tanahnya atas sebab KM ditolak berdasarkan alasan dan kepentingan awam tertentu. Apabila PBN berpuas hati bahawa tanah itu tidak berupaya untuk kegunaan berfaedah kepada tuan tanah, maka PBN hendaklah mengarahkan PBPT membeli atau mengambil tanah berkenaan. PBPT boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 [Akta 486] untuk mengambil tanah tersebut dengan membayar pampasan.
Bahagian VIII, Kawasan Pemajuan:
Perisytiharan kawasan pemajuan hanya boleh dibuat setelah PBPT mewartakan dan menerima pakai rancangan tempatan bagi kawasan tindakan di mana tapak-tapak telah dikenal pasti sebagai kawasan pemajuan. Pengisytiharan tersebut mestilah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri di mana tanah tersebut terletak, untuk memaklumkan kepada kesemua pihak berkenaan tentang niat PBPT untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan pemajuan.
PBPT mesti mengadakan rundingan dengan pemilik-pemilik tanah untuk tujuan membeli atau mengambil alih tanah tersebut secara paksa tertakluk dengan bayaran pampasan yang berpatutan jika pemiliknya enggan menjual tanah tersebut di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi maksud melaksanakan rancangan tersebut.
Bahagian IX, Peruntukan Pelbagai:
Peruntukan pelbagai di dalam Akta 172 memberikan punca kuasa kepada kerja-kerja seperti memasuki tanah atau bangunan, melupuskan tanah dan lain-lain serta kuasa untuk membuat kaedah-kaedah perincian kepada bahagian-bahagian lain dalam Akta ini.
Kemaskini pada 2024-08-29 16:09:54 daripada Mohd Irwan bin Omar