PUTRAJAYA, 16 Julai 2025 – Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) mengadakan mesyuarat ke-48 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim di Dewan Persidangan, Jabatan Perdana Menteri pagi ini.
MPFN Ke-48 telah mempertimbangkan sebanyak lima (5) kertas kerja melibatkan empat (4) kertas persetujuan dan satu (1) kertas makluman. Majlis telah bersetuju dengan Panduan Perancangan dan Pengurusan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (PPP KSAS) yang telah diangkat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), bertujuan menyelaras serta menambah baik definisi, jenis dan tahap KSAS bagi memastikan keseragaman pemakaian di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan. PPP KSAS ini akan menjadi panduan khusus kepada pihak berkuasa negeri (PBN), pihak berkuasa tempatan (PBT), PLANMalaysia Negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri serta agensi-agensi pelaksana untuk merancang dan mengurus KSAS.
MPFN Ke-48 turut mengambil maklum mengenai hasrat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memperluas Kawasan Perlindungan Marin (MPA) negara ke arah mencapai komitmen 10% MPA di bawah Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030). Pelaksanaan MPA ini adalah penting untuk menyokong Rangka Strategi Ekonomi Biru Negara dan melengkapi Perancangan Spatial Marin (MSP) yang pernah diangkat untuk pertimbangan MPFN Ke-46. Sasaran 10% kawasan MPA daripada keluasan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) memerlukan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, serta melibatkan pelbagai punca kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta, Enakmen dan Ordinan.